Persaingan dijangka lebih sengit di beberapa institusi pengajian tinggi awam (IPTA) pada pilihan raya kampus membabitkan calon proaspirasi dan promahasiswa bagi sesi pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) sesi 2012/2013.
Antara IPTA yang dijangka berhadapan dengan situasi itu ialah Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Malaya (UM) dan Universiti Utara Malaysia (UUM).
Bekas Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Sains Malaysia (MPPUSM), Idzuan Jamaluddin berkata, pertandingan dijangka sengit kerana calon proaspirasi dilihat bakal menerajui semula kepimpinan universiti itu bagi sesi akan datang.
"Calon proaspirasi dijangka memegang tampuk kepimpinan di USM dan membentuk barisan baru.
"Namun daripada maklumat yang saya terima, hasil daripada sokongan itu, calon promahasiswa cuba memboikot pilihan raya kampus ini dengan dakwaan pihak universiti sengaja menunda tarikh pemilihan tersebut iaitu sepatutnya diadakan pada bulan Mac, ditangguh ke 20 hingga 25 September ini," katanya ketika dihubungi di sini.
Beliau mengulas mengenai pilihan raya kampus bagi memilih kepimpinan baharu MPP bagi sesi 2012-2013 yang akan diadakan dari 20 hingga 25 September ini.
Pemilihan itu melibatkan 20 IPTA seluruh negara dengan pembabitan antara kumpulan proaspirasi dan promahasiswa.Sementara itu, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah meminta semua pihak memastikan pilihan raya kampus dapat diadakan secara aman.
Menurut beliau, pihaknya tidak mahu pilihan raya kampus itu berakhir dengan isu tidak diingini seperti yang berlaku pada tahun-tahun sebelum ini."Tidak timbul soal pelabelan perwakilan sebagai proaspirasi atau promahasiswa kerana paling penting pihak yang menang perlu memperjuangkan kepentingan serta apa yang disuarakan mahasiswa.
"Pilihan raya kampus juga adalah platform terbaik bagi melatih mahasiswa menjadi pemimpin negara pada masa depan. Apabila memegang jawatan kelak, mereka ada tugas dan tanggungjawab yang besar terhadap negara," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.Saifuddin berharap mahasiswa menggunakan kesempatan pada pilihan raya kampus untuk terlibat secara langsung atau tidak langsung bagi membolehkan matlamatnya tercapai.
"Mahasiswa perlu tahu pilihan raya diadakan bagi menyemarakkan pendidikan politik dan demokrasi di universiti, jadi diharapkan kesedaran mereka akan meningkatkan jumlah pengundi saban tahun."Walaupun tidak terlibat sepenuhnya, sekurang-kurangnya mereka perlu turun mengundi dan dengan pendedahan itu diharapkan pilihan raya kampus selepas ini dapat dijalankan sendiri oleh mahasiswa tanpa campur tangan pihak universiti," katanya.
Sources-utusan