Z1axEEecjtuGMZOxNh0twAq3uZQ

Tarikan Pasar Minggu Satok


Tarikan Pasar Minggu Satok


PASAR Minggu Satok wajar dijadikan salah satu produk pelancongan di Sarawak.

JERITAN peniaga untuk memancing pelanggan datang ke gerai masing-masing menjadikan suasana di Pasar Minggu Satok yang terletak di Kuching, Sarawak begitu meriah.
Kehadiran orang ramai pula terutamanya pelancong dari dalam dan luar negara menyebabkan pasar hujung minggu yang diadakan pada setiap hari Sabtu dan Ahad itu sentiasa sesak dan padat.

Namun, situasi tersebut bukan penghalang untuk destinasi popular itu terus dikunjungi mereka yang bertandang ke Bumi Kenyalang. Apatah lagi, Pasar Minggu Satok menawarkan pelbagai jenis barang keperluan harian yang dijual pada harga yang murah jika dibanding dengan harga pasaran semasa.

Antara produk popular yang terdapat di Pasar Minggu Satok ialah ikan terubuk, midin dan ulat mulung. Selain itu, buah-buahan pelik turut dijual seperti paku uban, buah payang, belimbing Sarawak dan buah dabai. Semua item tersebut jarang didapati di pasar-pasar lain.

Di samping itu, pasar itu juga menjual stok barangan basah seperti daging, ikan, ayam, sayuran segar serta buah-buahan tempatan.Kerancakan aktiviti jual-beli di pasar itu membuatkan seorang pensyarah Universiti Teknologi Mara (UiTM) Sarawak, Dr. Abdull Rahman Saili telah menghasilkan satu kajian berkaitan potensi pasar berkenaan.

Menurut Pensyarah Kanan dari Fakulti Perladangan dan Agroteknologi itu, Pasar Minggu Satok wajar dimanfaatkan sepenuhnya agar menjadi produk pelancongan utama Sarawak.

Destinasi pelancongan


IKAN terubuk masin mendapat permintaan yang tinggi terutamanya daripada penduduk di Semenanjung kerana harganya yang murah.

Ujar beliau, pasar tersebut perlu dipromosikan dengan lebih serius agar ia bukan sekadar menjadi tempat berniaga, bahkan turut menjadi faktor penarik kehadiran pelancong.“Berdasarkan maklum balas para pelancong, ramai yang setuju Pasar Minggu Satok merupakan satu destinasi pelancongan.

“Pasar itu bukan sekadar menjadi tempat berniaga tetapi berperanan sebagai landasan untuk mempromosikan budaya tempatan dalam kalangan pelancong,” katanya yang dipetik daripada akhbar The Borneo Post yang disiarkan pada 8 September 2011.

Kajian beliau yang bertajuk Pasar tani di bandar sebagai produk pelancongan yang dihasilkan pada tahun 2008 itu juga mendapati para pelancong terutama dari Semenanjung Malaysia gemar berkunjung ke Pasar Minggu Satok untuk melihat jenis produk tani atau hutan yang diniagakan.

Sementara itu, menurut Siti Herdawati Hamidun, 29, kawasan di Pasar Minggu Satok tidak pernah sunyi daripada kesesakan dan suasana hiruk-pikuk yang datang daripada penjual serta pembeli.

Berasal dari Raub, Pahang dan bertugas sebagai seorang guru di Kuching, Herdawati mengakui setiap bulan, dia pasti akan meluangkan masa membeli-belah di pasar tersebut.
“Walaupun pasar itu sentiasa sesak dan sukar untuk mencari tempat parkir, namun ia tetap menjadi pilihan ramai memandangkan harga yang ditawarkan sangat berpatutan,” ujarnya sambil memberitahu biasanya ikan terubuk masin sering menjadi pilihan mereka yang datang dari Semenanjung.

JANGAN lepaskan peluang mendapatkan ikan terubuk bakar.

Seorang lagi pengunjung yang terdiri daripada penduduk tempatan Sarawak, Sharifah Masni Wan Sheikh berkata, destinasi tersebut memang sesuai untuk golongan berkeluarga membeli barang keperluan harian.

“Kemasyhuran pasar ini memang sudah dikenali. Cuma, saya berharap pihak berkuasa yang terlibat boleh menaik taraf pasar ini seperti menyediakan lebih banyak kawasan letak kereta bagi memudahkan pengunjung datang ke sana,” terang Masni yang seronok melihat gelagat peniaga dan pengunjung apabila datang ke Pasar Minggu Satok.


                                                                             Sources- kosmo Oleh KHADIJAH MOHAMAD NOR

2 comments:

  1. Yarabi. X saba nunggu sabtu esok, nak gi pasar minggu tok. 1st time kmk ke sitok. Nice blog. Ya la follow ^_^

    ReplyDelete
  2. thanks for the comments, pasar satok mmg best.

    ReplyDelete

comment je!