ZOOLIHSAN menunjukkan pas daftar masuk penerbangan AirAsia selepas membuat tuntutan di Mahkamah TTPM di Putrajaya semalam.
PUTRAJAYA - Gara-gara menunda penerbangan sebanyak dua kali, syarikat penerbangan tambang murah AirAsia semalam diperintahkan oleh Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) agar memulangkan bayaran tiket seorang penumpang sebanyak RM646.
Penumpang itu yang merupakan Setiausaha Sulit Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Zoolihsan Ahmad, 37, menempah tiket penerbangan sehala ke Medan, Indonesia pada 20 Mei lalu atas urusan rasmi.Bagaimanapun, ketika dalam perjalanan ke Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) di Sepang pada pukul 12.20 tengah hari, Zoolihsan menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada AirAsia berhubung penundaan penerbangan QZ 8055.
"Sepatutnya penerbangan saya ke Medan berlepas pukul 1.40 petang tetapi ditunda sehingga 8.40 malam. Jadi, saya mengambil keputusan untuk patah balik ke rumah kerana waktu yang ditunda terlalu lama.
"Sekitar pukul 7 malam saya kembali ke LCCT tapi sebaik sahaja sampai di kaunter AirAsia, saya dimaklumkan bahawa penerbangan itu sekali lagi ditunda kepada pukul 10.45 malam," katanya ketika ditemui di luar kamar TTPM di sini semalam.
Ekoran penundaan hampir sembilan jam itu, Zoolihsan terpaksa menghubungi Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk kepastian sama ada wajar atau tidak beliau berlepas ke Medan.
kredit by kosmo! online