Z1axEEecjtuGMZOxNh0twAq3uZQ

Mydin Kini Di Sarawak

Mydin Mohamed Holdings Bhd akan melabur RM450 juta untuk mewujudkan pasar raya besar, masing-masing di Isthmus, Perbandaran Baru Samariang dan Vista Tunku, Sarawak, dalam tempoh 30 bulan ini.

 
Pengarah Urusannya, Datuk Ameer Ali Mydin berkata, pelaburan itu ialah untuk mewujudkan infrastruktur berkenaan.
 
"Maknanya minimum RM150 juta (pelaburan untuk satu pasar raya besar). Ia adalah satu pelabur besar untuk kami," kata beliau dalam taklimat media selepas memeterai perjanjian dengan wakil daripada CMS Land Sdn Bhd dan Projek Bandar Samariang Sdn Bhd di sini hari ini.
 
Turut hadir ialah Menteri Perumahan dan Pelancongan Sarawak, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg.
 
Ameer berkata dengan kepakaran CMS, pasar raya besar di Samariang dijangka siap dalam tempoh 18 bulan sementara pasar raya besar Isthmus akan siap menjelang akhir 2015.
 
Mengenai pasar raya besar di Vista Tunku, beliau berkata, ia akan mengambil masa agak lama untuk siap kerana ia akan menggabungkan rumah gudang yang besar.
 
Beliau berkata Mydin juga serius menimbangkan untuk mewujudkan cawangan-cawangan di Miri, Bintulu dan Sibu. - Bernama