Z1axEEecjtuGMZOxNh0twAq3uZQ

Perspektif Islam terhadap Pemindahan dan Pendermaan Organ


Perspektif Islam terhadap Pemindahan dan Pendermaan Organ



Pemindahan organ adalah satu kaedah rawatan yang tidak disebut secara spesifik di dalam al-Quran mahupun Sunnah Rasulullah s.a.w. kerana kaedah ini merupakan satu perkembangan baru dalam dunia perubatan. Satu daripada maqassid al-syariah (matlamat syariah) adalah untuk memelihara nyawa. Prinsip-prinsip syariah yang digunakan untuk mengeluarkan fatwa mengenai kaedah pemindahan organ ini termasuklah keperluan mengatasi larangan, memilih jalan yang paling kurang mudarat dan mudarat perlu dirawat dengan berikhtiar. Di Malaysia, fatwa mengenai keharusan pendermaan dan pemindahan organ telah dikeluarkan semenjak bulan Jun 1970 lagi.

Dari perspektif Islam, pemindahan organ diharuskan dengan syarat tidak ada alternatif lain yang boleh menyelamatkan nyawa pesakit. Di samping itu, kaedah rawatan ini juga diharuskan sekiranya tidak mendatangkan mudarat yang lebih besar kepada penerima organ atau penderma organ (sekiranya penderma masih hidup). Islam juga mensyaratkan pendermaan organ dilakukan secara ikhlas dengan niat untuk membantu orang lain semata-mata kerana Allah s.w.t. dan bukannya bagi tujuan untuk mendapatkan ganjaran, habuan, populariti atau glamor. Organ dan tisu juga tidak boleh diperniagakan kerana Islam melihat jual beli organ dan tisu sebagai suatu perkara yang haram. Pendermaan organ juga perlu mendapat izin dan persetujuan penderma, yakni pendermaan organ tidak boleh dilakukan kerana dipaksa.


Fatwa-fatwa di Malaysia Berkaitan Pendermaan Organ

1965Fatwa negeri Perlis mengharuskan pemindahan kornea daripada orang yang telah meninggal dunia
1970Majlis Fatwa Kebangsaan mengharuskan pendermaan organ daripada penderma kadaverik kepada penderma hidup
1989Majlis Fatwa Kebangsaan menerima diagnosis mati otak sebagai diagnosis untuk kematian
1995Majlis Fatwa Kebangsaan mengharuskan penggunaan graf tisu untuk merawat pesakit
1997Fatwa negeri Sarawak mengharuskan pemindahan ginjal daripada penderma hidup dan penderma yang telah meninggal dunia

Beberapa Fatwa dari Dunia Islam Mengenai Pemindahan Organ

SUMBERTAHUNFATWA
Sheikh H. Makhluf (Mufti Besar, Mesir)1952Pemindahan kornea diharuskan
Sheikh H. Maamun (Mufti Besar, Mesir)1959Pemindahan kornea diharuskan
Sheikh Hureidi (Mufti Besar, Mesir)1966Pemindahan kornea diharuskan
Persidangan Pertama OIC1969Pemindahan kornea diharuskan
Majlis Agung Islam Algeria1972Pemindahan organ diharuskan
Sheikh Khater (Mufti Besar, Mesir)1973Pemindahan kulit dari mayat yang tidak dikenali diharuskan
Majlis Agung Fatwa Jordan1977Pemindahan organ diharuskan
Ulama Besar Arab Saudi1978Pemindahan organ diharuskan
Sheikh Gad al-Haq (Mufti Besar, Mesir)1979Organ boleh diambil dari penderma hidup atau penderma kadaverik
Fatwa Kuwait1979Pemindahan organ diharuskan termasuk dari kadaver
Ulama Besar Arab Saudi1982Pemindahan kornea diharuskan
Fatwa Liga Dunia Islam1985Pemindahan kornea diharuskan
Persidangan Ketiga OIC1986Kematian otak diterima sebagai kematian
Persidangan Keempat OIC1988Pemindahan organ diharuskan tetapi jual beli dan penyeludupan organ diharamkan



Pandangan Agama Buddha

Menurut K. Sri Dhammanenda Nayake Therra dalam agama Buddha ada tiga cara untuk berbakti, iaitu:
Menderma barang-barang yang berbentuk duniawi.
Menderma anggota tubuh seperti mata, buah pinggang dan lain-lain.
Berkorban untuk kepentingan dan kebahagiaan orang lain.
Agama Buddha tidak menentang teknologi-teknologi moden khususnya yang berkaitan dengan transplantasi organ bahkan ia menggalakkan mereka yang mempunyai kemampuan meneroka bidang tersebut.
Agama Buddha menggalakkan pemindahan dan pendermaan organ asalkan tidak dijual beli.
Menderma organ dan tisu bagi tujuan menyelamatkan nyawa orang lain adalah cara hidup yang paling mulia.

Pandangan Agama Hindu

Agama Hindu adalah satu agama berasaskan kepada kasih sayang. Kasih sayang, belas kasihan dan murah hati adalah aspek praktikal yang menjadi pegangan penganut-penganut agama Hindu.
Seorang penganut agama Hindu boleh mendermakan apa saja termasuklah organ-organnya baik semasa hidup atau selepas meningal dunia.
Kesimpulannya, agama Hindu tidak menegah dan menyekat penganut-penganutnya untuk menderma organ sekiranya ia dapat menyelamat nyawa orang lain.

Persekutuan Kristian Malaysia

Agama Kristian menggalakkan penganutnya membantu mereka yang memerlukan rawatan pemindahan organ bagi menggantikan organ-organ mereka yang tidak berfungsi.
Walau bagaimanapun, kesediaan penderma organ hendaklah dikawal dengan undang-undang dan etika, bagi mengelakkan jual beli dan eksploitasi oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.

Pandangan Agama Sikh

Pada dasarnya, agama Sikh tidak melarang pendermaan mata dan organ-organ lain.
Menderma mata dan organ-organ lain selepas kematian merupakan satu pemberian yang tidak ternilai untuk seseorang.